NEWS IN DETAIL

Kuota pekerja asing tergendala, Primas desak penjelasan segera

News Thumb 12.Feb.2026

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) menggesa kerajaan memberi penjelasan segera berhubung kelewatan dan kekeliruan dalam proses permohonan kuota penggajian pekerja asing (gantian) yang didakwa menjejaskan operasi sektor restoran.

Presidennya, Datuk J Govindasamy berkata, masalah itu menyebabkan ramai pengusaha restoran berdepan kesukaran mendapatkan tenaga kerja mencukupi walaupun telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan.

“Proses yang tidak konsisten dan sering berubah-ubah menyebabkan permohonan majikan tergendala.

“Keadaan ini memberi tekanan besar kepada pengusaha yang sedang berusaha mengekalkan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan pada Ogos 2025 mengumumkan tempoh permohonan kuota pekerja asing dibuka sehingga 31 Disember 2025, namun garis panduan terperinci hanya dikeluarkan pada Oktober tahun sama.

Katanya, kelewatan itu menyebabkan majikan mempunyai tempoh yang amat terhad untuk mengumpul dokumen dan melengkapkan permohonan.

“Ketika majikan sedang menguruskan permohonan, satu pengumuman dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) pada 19 Disember tahun lalu mengenai penangguhan sesi temu duga dan penutupan kaunter permohonan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) 26 Disember hingga 2 Januari,” katanya.

Beliau berkata, kaunter hanya beroperasi semula pada 5 Januari ini sebelum KDN mengumumkan pada 24 Disember 2025 bahawa kuota pekerja asing telah penuh dan pengambilan ditutup sepenuhnya.

“Keadaan menjadi lebih rumit apabila pada 30 Disember 2025, kerajaan umum tempoh khas permohonan dari 19 Januari hingga 31 Mac 2026 melalui portal baharu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Govindasamy, sehingga kini portal berkenaan masih memaparkan status ‘Full – No Timeslots Available’, ahli-ahli Primas gagal mendapatkan slot temu duga.

“Walaupun tempoh khas masih berjalan, ramai pengusaha belum menerima pekerja gantian atau kelulusan pengambilan pekerja asing baharu,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata, kelewatan dan ketidakselarasan proses tersebut berpotensi memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor restoran.

“Jika isu ini berlarutan, ia boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan, mengurangkan waktu operasi dan dalam keadaan tertentu memaksa premis menutup perniagaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera memperjelaskan status permohonan serta melaksanakan langkah penyelesaian yang jelas dan berkesan.

“Kami berharap kerajaan bertindak segera bagi memastikan pengusaha restoran memperoleh tenaga kerja yang diperlukan demi kelangsungan industri,” katanya. – MalaysiaGazette