06.Mar.2026
Notis Pemansuhan KDN Sudah Keluar, Tetapi Syarat Masih Membebankan – Rakyat Persoal: “Apa Majikan Perlu Buat?”
Dato’ G Kumaar Aamaann Seru PM Anwar Arah Semua Agensi Segerakan Kelulusan.
KUALA LUMPUR, 6 Mac 2026 – Ketua Pengarang Dr OttrangkNews, Dato’ G Kumaar Aamaann, menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya campur tangan segera bagi menyelesaikan isu kelulusan berkaitan pekerja asing yang didakwa masih dibelenggu syarat ketat dan birokrasi walaupun kerajaan telah mengeluarkan notis pemansuhan tarikh tutup permohonan kuota penggajian pekerja asing.
Beliau berkata, notis rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 6 Mac 2026 memaklumkan bahawa tarikh tutup permohonan kuota penggajian pekerja asing yang sebelum ini ditetapkan pada 31 Mac 2026 telah dimansuhkan, sekali gus membolehkan permohonan dibuat tanpa had tempoh melalui Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC KDN).
Namun menurut beliau, di peringkat pelaksanaan masih terdapat pelbagai syarat tambahan yang didakwa tidak munasabah sehingga menyebabkan majikan sukar mendapatkan kelulusan sebenar. “Persoalan yang timbul sekarang ialah – jika notis pemansuhan sudah dikeluarkan tetapi syarat di lapangan masih terlalu ketat dan melambatkan proses, apa sebenarnya yang majikan dan rakyat perlu lakukan?” katanya. Dato’ G Kumaar Aamaann berkata, masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh pengusaha restoran, tetapi turut melibatkan banyak sektor industri lain. Menurut beliau, selain restoran mamak dan restoran India, kilang karpet, kilang perabot serta pelbagai kilang pembuatan di seluruh negara juga sedang menghadapi kesukaran mendapatkan kelulusan pekerja asing dan penempatan pekerja. “Ini bukan hanya isu restoran. Banyak kilang seperti kilang karpet, kilang perabot dan industri pembuatan lain juga sedang menghadapi masalah yang sama. Jika perkara ini tidak diselesaikan segera, ia boleh menjejaskan operasi industri dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa permintaan yang disuarakan oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) supaya syarat dilonggarkan dan proses kelulusan dipercepatkan wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan. Tambah beliau, isu ini juga melibatkan ahli Persatuan Pengusaha Restoran India Kuala Lumpur dan Selangor (PRIMAS) serta pelbagai pengusaha restoran lain tanpa mengira kaum dan agama. “Ini bukan isu kaum atau agama. Ini isu kelangsungan perniagaan dan juga kos sara hidup rakyat,” katanya. Dato’ G Kumaar Aamaann berkata, jika proses kelulusan terlalu rumit dan mahal, kesannya akhirnya akan dirasai oleh pengguna kerana kos operasi akan meningkat dan harga makanan serta barangan akan turut naik.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Ahli Parlimen pembangkang membawa isu ini ke Parlimen bagi mendapatkan penjelasan rasmi daripada kerajaan mengenai pelaksanaan sebenar notis pemansuhan tersebut. “Parlimen adalah tempat terbaik untuk memastikan isu ini dibincangkan secara terbuka dan penyelesaian yang lebih praktikal dapat dicapai,” katanya. Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengarahkan semua kementerian dan agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan supaya menyegerakan proses kelulusan serta menilai semula syarat yang terlalu membebankan majikan. Menurutnya, pendekatan yang lebih fleksibel dan menyeluruh akan memastikan industri restoran, sektor pembuatan serta perniagaan lain di Malaysia dapat terus beroperasi secara stabil, sekali gus menjaga kebajikan pekerja dan kepentingan pengguna. Isu Kelulusan Pekerja Asing: Apa Langkah Majikan?